Citra meluru keluar dari lif lalu melanggar bahu Qarleesha yang ingin masuk pula ke perut lif tersebut. Tidak dia meminta maaf tetapi menjeling pula. Remuk hati Qarleesha dalam keadaan yang terpinga-pinga itu.
“Kau tak apa-apa?” soal Rizman yang sama-sama masuk ke dalam lif dengan Qarleesha setelah pecah peluh mereka berdua bersama seorang atenden menghantar pesakit mereka ke ICU.
“I’m fine,” balas Qarleesha pendek.
“Tapi muka kau macam muka nampak hantu,” Rizman tergelak kecil. Qarleesha di dalam dunianya. Dia sudah tidak berdaya untuk melayan sikap buruk Citra terhadapnya. Sudahlah putus cinta, di wad pula dia dibuli oleh senior dan dia sentiasa malang kerana pesakit sentiasa dalam keadaan kritikal.
Pernah Qarleesha tidak dapat tidur malam akibat terlalu tertekan. Bagai nak demam namun dia gagahkan diri juga untuk pergi bekerja. Apabila keadaan ini berterusan selama seminggu Qarleesha mengadu kepada mamanya.
“Sabar sayang, semua ini dugaan. Allah S.W.T mahu kamu lebih tabah. Bukan semua orang dapat peluang macam kamu. Jururawat ini tugasannya mulia, mudah bagi kamu mendapat pahala. Yang penting ikhlas, sabar dan amanah dalam melakukan tugasan,”
Qarleesha memegang kata-kata itu saja sebagai sumber kekuatannya. Mamanya pasti lebih haru jika dia mengetahui kisah cinta yang ketidaksampaian anak gadisnya itu.
“Leesh, kau tak nak keluar ke? Dah sampai tingkat 6 dah,” tegur Dr. Rizman membangunkan Qarleesha dari lamunan.
“Beranganlah tu,” Rizman meninggalkan Qarleesha yang masih terpinga-pinga.
“Blur betul!” bisik Rizman lalu menggelengkan kepalanya.
No comments:
Post a Comment